Tuesday, July 8, 2008

I was in the News... Berita Harian 2nd July


DAP tunjuk belang kuasai pentadbiran Perak

Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin

Kerajaan Pakatan Rakyat selama 100 hari belum ada agenda besar, lebih bertumpu kepada ceramah

SELEPAS 100 hari Pakatan Rakyat (PR) memerintah kerajaan negeri Perak, apa yang berlaku? Yang nyata, pentadbiran kerajaan negeri sekarang, seolah-olah dikuasai dan dilaksanakan mengikut kehendak DAP yang menjadi parti dominan dalam PR dan bukannya mengikut hala tuju Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Malah, satu lagi perubahan ketara ialah semakin banyak ceramah politik yang semakin menjadi-jadi dan dilakukan hampir setiap malam.

Hakikatnya, banyak pihak melihat kerajaan negeri yang baru ini belum membawa perubahan atau berjaya menetapkan hala tuju yang konkrit bagi membawa kemakmuran dan pembangunan kepada rakyat negeri itu yang memilih mereka pada pilihan raya umum lalu. Pada masa sama, rata-rata juga berpendapat tidak adil untuk menilai kemampuan kerajaan negeri yang baru ditubuhkan dalam tempoh itu, kerana 100 hari adalah satu tempoh masa singkat berbanding masa diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah Perak sejak 11 penggal lalu.

Namun, pemerhati politik berpendapat 100 hari adalah tempoh penting kepada sesuatu kerajaan negeri yang baru dalam merangka satu hala tuju yang konkrit untuk tempoh lima atau 10 akan datang.

Walaupun mereka baru mengambil alih tugas mentadbir negeri, rata-rata pemimpin kerajaan negeri yang ada sekarang berpengalaman sebagai barisan pembangkang yang sebelum ini mempunyai pelbagai cadangan.

Dalam mentadbir kerajaan negeri sekarang ahli Exco DAP dilihat lebih dominan kerana mereka mempunyai enam ahli Exco berbanding Pas (dua) termasuk Menteri Besar, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga.

Berbanding ketika pentadbiran BN, Umno memegang tujuh portfolio Exco termasuk Menteri Besar, manakala MCA (dua), Gerakan (satu) dan MIC (satu).

Maka, jelaslah sedikit sebanyak kuasa orang Melayu dalam mentadbir kerajaan negeri sekarang sudah mula terhakis dan wujud kebimbangan mungkin berlaku beberapa keputusan yang jika tidak diperhalusi akan merugikan orang Melayu sendiri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu, BN menang 29 kerusi dengan Umno menang 28 kerusi dan MCA satu, manakala DAP menang semua 18 kerusi yang ditandinginya, sementara Pas dan PKR masing-masing menang enam dan tujuh kerusi.

Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, berkata walaupun sudah 100 hari memerintah, sehingga kini rakyat belum melihat agenda besar dibawa oleh kerajaan negeri selain mengungkit apa yang disifatkan sebagai kelemahan kerajaan negeri yang lalu walaupun mereka sehingga kini belum dapat membuktikannya.

Beliau yang juga Adun Pangkor berkata, berdasarkan laporan dan tindakan kerajaan negeri sekarang, rakyat kini turut tertanya-tanya dan keliru siapa sebenarnya menjadi ketua kerajaan dan menguasai kerajaan negeri.

Katanya, ada pihak melihat pentadbiran kerajaan negeri sekarang dikuasai dan dilaksanakan mengikut kehendak DAP yang menjadi parti dominan dalam PR dan bukannya mengikut hala tuju Menteri Besar.

Dr Zambry berkata, maklum balas diterima daripada rakyat terhadap pemerintahan kerajaan negeri setakat ini ialah satu-satunya perubahan besar berlaku di Perak, cuma ceramah politik yang semakin menjadi-jadi dan dilakukan hampir setiap malam.

"Penilaian ini dibuat hasil maklum balas daripada penyokong BN, pengundi atas pagar dan pengundi yang mengambil keputusan menyokong PR pada pilihan raya umum lalu.

"Menteri Besar memberi alasan ia dilakukan untuk memberi penerangan kepada rakyat berhubung dasar yang diambil kerajaan negeri tetapi maklum balas yang saya terima ialah ceramah yang diadakan lebih tertumpu kepada mengutuk individu politik tertentu dan parti politik lawan," katanya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata dalam tempoh 100 hari ini, beliau belum nampak ada perubahan besar dalam pemerintahan kerajaan negeri kecuali pertukaran kerajaan daripada BN kepada PR.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sehingga kini belum ada agenda besar yang ditunjukkan kerajaan PR untuk rakyat Perak bagi menunjukkan ia berlainan atau lebih baik daripada kerajaan negeri lalu.

"Bagaimanapun, situasi Menteri Besar daripada Pas yang bukan majoriti boleh survive menunjukkan apa yang dikatakan sebagai kerapuhan ikatan kerjasama dalam PR tidak lagi boleh terpakai. Agak menakjubkan juga kerajaan negeri ini boleh terus bertahan walaupun kerjasama itu membabitkan dua parti yang terlalu ekstrem dalam ideologi politik masing-masing," katanya.

Dr Mohammad Agus berkata, rakyat secara umum tidak menganggap Melayu kehilangan kuasa politik di Perak kerana melihat kedudukan Menteri Besar yang masih disandang orang Melayu dan kewujudan institusi kesultanan Perak yang mendapat kepercayaan penuh rakyat untuk menjadi pelindung mereka.

Malah, katanya, sudah sampai masanya bagi semua pihak melihat kuasa politik Melayu dalam konteks lebih luas iaitu kuasa politik yang kembali kepada rakyat.

"Soal Melayu hilang kuasa bukan saja diperkatakan di Perak tetapi juga di Selangor tetapi kedua-dua kerajaan negeri ini sehingga kini terus `survive yang secara tidak langsung menunjukkan orang Melayu yakin dengan kemampuan pemimpin dua kerajaan itu.

"Cuma di Perak rakyat masih tertunggu-tunggu agenda besar yang akan dilaksanakan untuk kesejahteraan mereka," katanya.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, berkata Adun DAP menguasai banyak Exco penting dan membuat keputusan penting kerajaan negeri Perak sekarang.

"Pas pula terlalu minoriti untuk menjadi tenaga penting dalam kerajaan negeri dalam memperjuangkan agenda Melayu/Islam manakala agenda PKR pula hampir sama dengan DAP.

"Bukan bermakna kita bersifat perkauman tetapi dalam keadaan orang Melayu masih ketinggalan dalam ekonomi dan meritokrasi serta wujud peruntukan dalam perlembagaan mengenai hak orang Melayu, kita tidak tahu siapa yang akan membawa agenda perjuangan Melayu selain Umno," katanya.

Dr Ramlah memberi contoh, tindakan kerajaan negeri mengadakan pilihan raya bagi pemilihan ketua kampung sebenarnya boleh memecah-belahkan lagi perpaduan di kalangan orang Melayu peringkat akar umbi sedangkan pada masa sama perpaduan orang bukan Melayu semakin kuat bagi mengemukakan tuntutan yang kelihatan semakin banyak dipenuhi.

Beliau bagaimanapun berkata, tempoh 100 hari mungkin terlalu singkat untuk melihat kesannya terhadap kuasa politik orang Melayu tetapi masyarakat Melayu di Perak perlu berfikir untuk tempoh empat tahun lagi pemerintahan PR.

Dr Ramlah berkata, dalam beberapa siri kunjungannya ke Perak beberapa minggu lalu, beliau melihat orang Melayu masih kukuh menyokong Umno hanya di kalangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas atau sudah lama berjuang dalam parti itu.

Justeru, katanya, jika Umno mahu memastikan kuasa politik orang Melayu kembali di Perak, parti itu perlu bekerja keras bagi menarik minat golongan muda kembali menyokong parti itu dan memastikan ahli Umno sedia ada tidak 'bertempiaran seperti anak ayam kehilangan ibu.'

Pengerusi Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Saiful Adli Mohd Arshad, pula berkata kini wujud kebimbangan di kalangan usahawan Melayu ekoran dasar kerajaan negeri yang baru lebih menjurus kepada pemberian hak dan peluang sama rata ekonomi yang jelas bertentangan dengan perlembagaan yang menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu.

"Kami sudah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar bulan lalu tetapi beliau sendiri tidak dapat menjanjikan apa-apa agenda baru terutama berkaitan rancangan membangunkan usahawan muda.

"Malah, sehingga kini banyak timbul keadaan ketidakpastian daripada segi perniagaan bukan saja di kalangan usahawan Melayu malah ekonomi Perak secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya belum mendengar ada rancangan baru yang akan dilaksanakan kerajaan negeri sebaliknya boleh dikatakan dalam keadaan `teraba-raba' mengekalkan kerajaan selain lebih bersifat mentadbir perancangan kerajaan negeri yang lalu.

"Saya rasa mungkin tempoh 100 hari terlalu singkat untuk membuat penilaian terhadap kerajaan negeri yang baru, mungkin kita boleh beri masa 200 hari lagi," katanya.


1 comment:

Anonymous said...

sebaliknya boleh dikatakan dalam keadaan `teraba-raba'...

Nizar's spectacles need to be changed....or tambah power...